Skip to main content

MENJAGA HUBUNGAN SILATURAHIM


Jaminan untuk mendapatkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, juga bergantung kepada pilihan kita yang keempat, iaitu bagaimana kita menjaga hubungan silaturahim.
Orang yang menjaga hubungannya dengan Allah, akan disayangi Allah dan hidupnya akan bahagia di dunia dan di akhirat. Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang dan disenangi orang di sekelilingnya.
Dengan ketakwaan juga, seseorang itu mendapat ketenangan, dan orang yang tenang sahaja dapat menenangkan orang. Orang yang tenang mudah memenangi hati orang, dan hubungan silaturahim mudah terjalin.
Dalam kehidupan ini, kita amat perlu menjaga hubungan kita sesama manusia, melalui ikatan silaturahim.
Tidak kira apa bangsa dan keturunan kita, apa status pencapaian akademik dan pangkat kita, dan apa pun agama kita, menjaga silaturahim diwajibkan oleh Islam. Dalam buku saya, Mata Akal Mata Hati, dalam bab tujuh, Celik Mata Reset Minda Orang yang Tenang saya catatkan, “Kebanyakan kita inginkan ketenangan, tetapi kita tidak menenangkan orang. Kita hendak bahagia, tetapi kita tidak bahagiakan orang. Demikian jugalah, kita hendak kebebasan, tetapi kita mengongkong orang.”
Ingatlah formula “ADA – BERI – DAPAT” yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran “Reset Minda”.
Maknanya, hanya orang yang “ADA” ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan dalam dirinya yang dapat “BERI” ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan kepada orang lain. Akhirnya kita akan “DAPAT” respons
kehidupan yang positif hasil daripada tindakan positif yang kita “ADA” dan yang kita telah “BERI”.  Hubungan silaturahim ini akan terjalin baik apabila jiwa kita bersih.
Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang, adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain, hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang.
Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri, tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang, dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Tip untuk menjaga silaturahim; pertama, kita kena hilangkan minat untuk melabel atau menghukum orang. Punca pergaduhan kerana apa? Kerana suka melabel dan menghukum orang, kerana sibuk hendak menegakkan benang yang basah, yakni tidak mahu mengaku kesilapan, dan kerana tidak mahu menerima kenyataan.
Kedua, sentiasa menjadikan orang lain itu penting dalam hidup kita bukan kita mementingkan diri kita. Ketiga, melayani orang sebaik-baik mungkin sebagai mana kita harapkan orang melayan kita dengan baik. Keempat, jadikan setiap pertemuan kita dengan seseorang itu sebagai satu pengalaman terindah buatnya, hingga dia teruja untuk meneruskan silaturahim dengan kita.
Adab bersilaturahim dalam Islam; pertama, apabila berbicara cari perkataan yang menyeronokkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar. Kalau kita berasa sukar hendak mengeluarkan perkataan yang baik, bermakna kurang kebaikan dalam diri kita. Kedua, jangan sesekali menghina terutama menghina peribadi. Sebagaimana kita tidak suka dihina, kita juga tidak suka menghina orang. Ketiga, beradab walaupun dalam keadaan bergurau.
Keempat, jangan amalkan sikap yang kononnya kutuk mengutuk membawa bahagia. Kelima, maafkan orang. Biarpun kepada orang yang berbuat salah kepada kita. Maknanya, kita ada hak untuk membalasnya, tetapi kita tidak membalas, sebaliknya kita memaafkannya.
Orang yang memaafkan merupakan orang yang suci hatinya serta berjaya merendahkan egonya dan berjaya meningkatkan ketakwaannya. Sedangkan Allah itu Maha Pengampun, siapalah kita sebagai hamba-Nya, yang tidak mahu memaafkan dosa sesama kita. Sesungguhnya hendak memaafkan  mudah, tetapi hendak memohon maaf itu yang sukar, kerana kita terpaksa menurunkan keegoan kita.
Ingatlah, orang yang tidak memaafkan orang sebenarnya dia sedang menyimpan racun dalam badannya, yang akan memusnahkan hidupnya sedikit demi sedikit. Analoginya seperti patukan ular, yang mematuk mangsanya cuma sekali patukan, tetapi bisanya merayap ke seluruh badan hingga akhirnya boleh menyebabkan kematian.
Begitu juga dengan kita, orang menyakitkan hati kita hanya lima minit, tetapi kita menyimpan dendam berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun atau sepanjang hayat kita.
Seandainya kita meninggal dunia membawa bersama-sama dendam yang tidak berkesudahan, yakni kita tidak memaafkan orang, atau kerana keegoan tidak mahu mengakui kesalahan dan memohon maaf,di akhirat nanti hidup kita pun tidak tenang.
Dosa manusia dengan Allah, walaupun sebanyak buih di lautan luas pun, Allah akan ampun hamba-Nya, jika bertaubat dan memohon keampunan. Tetapi, dosa sesama manusia mesti ditebus dengan manusia juga; ertinya memohon maaf dan memaafkan.
Jom lihat dan audit diri kita, jika hubungan dengan Allah rapuh akan mulalah timbul ego dan kesombongan. Jika kita solat tetapi sombong, muhasabah solat kita. Tidak ada orang yang ego dan sombong disukai orang dan terjaga silaturahimnya.
Orang yang benar-benar tenang ialah mereka yang tidak terkesan dengan pujian dan cemuhan orang, tetapi mereka sentiasa melihat kebaikan orang dan sentiasa  bersangka baik terhadap orang dalam setiap kebaikan. “Refleksi diri, cari inspirasi diri dan tranformasi diri” dan “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : Portal TV14

Comments