Skip to main content

ILMU DUNIAWI, AKHIRAT WAJAR BERGERAK SELARI


Hakikatnya, ilmu sains dan teknologi tidak boleh berdiri tanpa sumber wahyu. Banyak penemuan saintifik sejak era kegemilangan Islam hingga hari ini bermula daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Antaranya, proses penciptaan manusia, graviti, bunyi, cahaya, haiwan, bintang, matematik dan banyak lagi, meskipun pada kurun ke-17, muncul pandangan Barat yang beranggapan bahawa sumber wahyu itu bertaraf mitos semata-mata. Tambahan pula, ilmu sains dan Islam sama-sama berpegang kepada prinsip bahawa alam serta isinya adalah bersifat konseptual iaitu sesuatu yang boleh difahami dan dimengertikan.
“Inilah yang mendorong para ilmuwan Islam untuk terus melakukan penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai bidang bagi menambah rasa kagum serta takjub kepada Allah SWT,” kata Prof. Mohd. Zulkifli Hamzah.
Pengajar utama (master trainer) Akademi Bimbingan Insan (ABI) itu menyatakannya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mukadimah Bicara Rahsia Tauhid Sains Teknologi’ pada Seminar Bicara Rahsia Tauhid Sains Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Seminar setengah hari itu dianjurkan oleh Pertubuhan Rumpun Kekeluargaan Nusantara (Harum) dengan kerjasama USIM.
Mohd. Zulkifli yang juga pakar kejuruteraan elektrik dari Universiti A&M Texas, Amerika Syarikat itu mengambil contoh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang menguasai 13 cabang ilmu dan mengarang lebih daripada 6,000 naskhah atau manuskrip, termasuk ilmu duniawi.
Kehebatannya tidak terhenti di situ sahaja. Perpustakaan Vatican di Itali ada mewujudkan satu seksyen khas untuk ilmu beliau bawah nama The Great Philosopher of Islam.
Di alam Melayu, Syeikh Wan Ahmad al-Fathani bukan hanya pakar dalam bidang agama tetapi menguasai lebih 40 bidang ilmu duniawi seperti politik, ekonomi, sains, teknologi, khat dan pendidikan.
“Malangnya, hari ini fahaman sekular sudah menguasai umat sehingga lahir pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi yang tidak takutkan Allah SWT, bahkan ada yang menafikan kewujudan-Nya.
“Di sisi lain pula, lahir ulama yang tidak memahami perkembangan semasa sains dan teknologi dengan tepat sehingga tersalah menghukum sesuatu perkara itu dengan halal dan haram dan sebagainya.
“Hal ini terjadi apabila kita memisahkan urusan dunia daripada urusan akhirat dan sebaliknya, sedangkan kedua-duanya perlu bergerak selari dan seiring,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat gerakan musuh Islam yang menutup kebenaran fakta kehebatan umat Islam zaman silam, antaranya, tentang penciptaan kapal terbang pertama.
“Mereka menyatakan ia dilakukan oleh adik beradik Wright, pada hal seorang pengkaji Islam bernama Abbas Ibnu Firnas telah membuat penerbangan pertama dari Menara Cordoba pada tahun 852, sedangkan adik-beradik Wright melakukannya pada hujung 1903.

Sumber : Portal TV 14 (Bahagian Agama)

Comments