Kegagalan Diri : Penamat Diri?


Assalammualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulilah, bertemu lagi kita dalam catatan pada kali ini. Pada kali ini, kami akan membincangkan mengenai "Kegagalan Diri : Penamat Diri?". Kenapa kami memilih tajuk ini? Hal ini kerana, keputusan UPU bakal keluar tidak lama lagi, ada yang akan gembira, ada yang kecewa, ada yang sudah jangka, dan lain-lain reaksi. Namun, jika gagal, bagaimana? Itu ayat ini akan menjadi persoalan besar kepada semua.

Ramai yang berkata, SPM adalah peperiksaan segala-galanya yang melayakkan anda untuk masuk IPTA/IPTS, menyambung pelajaran ke luar negara, permohonan kerja dan sebagainya. Ada yang menggangap SPM nyawa kita sepanjang perjalanan hidup kita. Namun, kenyataan tersebut adalah silap dan karut semata-mata. Laluan atau peluang selepas SPM sangat luas. Kita jangan bandingkan zaman 70-an,80-an, dan awal 90-an, kerana waktu itu peluang sangat sempit serta sangat terhad serta kurangnya kewujudan pusat kemahiran, dan kolej swasta. Namun, zaman kini tersangat-sangat luas kerana peluang belajar sangat banyak. Sebagai contoh, ada seorang kenalan rapat Pengarah Urusan, iaitu F (bukan nama sebenar) tidak mendapat keputusan SPM yang sangat baik (kira dalam bahasa kampung, cukup-cukup makan). Apabila beliau nampak keputusan SPM, beliau nampak ada beberapa laluan untuk beliau untuk meneruskan pelajaran. Beliau mengambil keputusan untuk menyambung Sijil Pendawaian Elektrik, di Giat Mara. Beliau tidak menjadikan bahawa keputusan SPM beliau sebagai penghalang untuk meneruskan pelajaran, malah kini beliau mampu membaiki pendawaian rumah kediaman menggunakan syarikat milik beliau

Ada satu kisah, dimana Pengarah Urusan sendiri bertemu seorang insan yang hanya ingin kenali sebagai "Angah". Beliau berjumpa ketika satu program di Kemaman, Terengganu pada tahun 2014. Ketika beliau mendapat keputusan STPM pada tahun 2015, beliau berjumpa sendiri dengan Pengarah Urusan kami dengan harapan dapat membantu menunjuk jalan beliau untuk sambung belajar selepas guru kaunseling sekolah beliau tidak lansung membantu beliau. Namun, apabila melihat keputusan SPM dan STPM secara kasar, beliau sememangnya tidak layak memohon apa-apa bidang pun. Namun, melihat sikap dan semangat beliau, Pengarah Urusan meminta di memohon bidang sukan yang melibatkan Temuduga dimana-mana universiti. Kini, beliau berjaya menyambung pelajaran di salah sebuah IPTA dalam bidang Sains Sukan.


Dua cerita yang berbeza, namun satu perjalanan yang menggambarkan bahawa individu yang gagal dalam SPM tidak semestinya gagal dalam hidup. Peluang tetap ada, namun anda perlu pilih sendiri anda minat ke arah mana. Kami menekankan bahawa Allah S.W.T memberi dugaan anda ketika ini, namun balasanya berlipat kali ganda. Ia terkandung dalam satu potongan ayat Al-Quran

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

Allah telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa Dia tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu  Allah memberikan  ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Kegagalan bukanlah penamat, namun ia satu cara kita bangkit dalam hidup kita untuk kita berjaya dalam hidup kita. Ramai jutawan di Dunia mahupun di Malaysia sendiri gagal dalam kehidupan meraka sendiri. Namun, mereka bangkit dan menghasilkan produk yang kini satu dunia menggunakan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, Bill Gates (tidak menamatkan pelajaran beliau di Universiti), Colonel Sanders, Pengasas KFC (menjadi jutawan ketika berumur 88 tahun, sebelum itu gagal dalam pekerjaan dan perkahwinan beberapa kali), Dato Alif Syukri, Pemilik D,Herbs (tidak cemerlang dalam SPM), Mediang Steve Jobs, Pengasas Apple (tidak menamatkan pelajaran beliau ketika di Univerisiti), dan ramai lagi. Mereka membuktikan bahawa, gagal masa dahulu, bukanlah gagal sekarang.


Ada satu kisah, dimana Pengarah Urusan berjumpa salah seorang pensyarah beliau ketika beliau melanjut pelajaran peringkat Master di UKM, pensyarah beliau mengajar salah satu subjek menceritakan tentang beliau pernah gagal dalam STPM sebanyak 2 kali, namun beliau berusaha sehingga beliau berjaya kali kedua dalam peperiksaan STPM. Kini beliau salah seorang pensyarah yang sangat disengani ketika ini. Ini membuktikan, jika kita berusaha banyak kali, insya-allah kita bakal mendapat hasil walaupun hasil yang kita terima agak lambat.

Jadi, kepada anda diluar sana, tidak perlu risau jika gagal sekarang, tidak semestinya gagal selama-lamanya. Namun yang penting tawakal kepada Allah serta berusaha dengan lebih keras, pasti Allah akan membalasnya belipat kali ganda. Insya-allah. Sekian, cacatan kita pada kali ini. Insya-allah kita bakal bertemu pada waktu lain. Pada catatan akan datang, Pengarah Urusan kami bakal membuat catatan mengenai perjalanan kehidupan beliau sehingga beliau mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana sebelum ini. Sekian, Assalammualaikum, dan harap berjumpa lagi.

Comments