GUNA AKAL CARA KEHIDUPAN POSITIF


Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” (Riwayat Tirmidzi)
Menerusi rancangan Islam itu Indah di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata, cara seseorang berfikir mempengaruhi hatinya. Begitu juga dalaman diri menentukan luaran kerana seorang yang hatinya tidak tenang tidak akan mampu tersenyum ikhlas atau bertindak dengan baik.
Pada waktu tertentu, hati mencorakkan cara kita berfikir, tetapi dalam banyak waktu akal menentukan corak dan bentuk fikiran seterusnya hati. Sebab itu golongan bijak pandai menyebut, akal itu pelita bagi hati.

Bijak guna masa
Ada juga menyatakan akal itu telinga hati. Jika apa didengar dan dilihat itu perkara yang baik, nescaya seorang itu akan dapat menuai sebanyak mungkin kebaikan. Begitu juga jika ruang fikiran dipenuhi kejernihan ilmu, cara berfikir yang baik akan menghasilkan pemikiran positif.
Pakar psikologi menyebut, manusia sering membazirkan masa kepada perkara yang sama. Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun, setiap orang yang mendapat hasil bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna.
Contohnya, seorang yang jahat kemudian berubah menjadi orang alim yang baik. Ia berlaku kerana proses yang dilalui seperti mendekatkan diri dengan orang alim, banyak menuntut ilmu, bermujahadah dan istiqamah sehingga menjadi seorang insan yang baik serta berilmu.
Justeru, apa yang kita lakukan setiap hari akan menentukan hasil yang diperoleh. Jika waktu yang dimiliki dibazirkan dengan perkara sia-sia, ia tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan kegagalan.
Pakar menyebut, kegagalan seorang itu kerana tidak menggunakan waktu dengan bijak. Orang berjaya menggunakan masa dengan rutin yang produktif seperti mengisi waktu dengan ilmu, kuat bekerja, banyak amal ibadat kepada Allah SWT.

Diterjemah dalam perbuatan
Antara perbuatan menentukan kita memperoleh kejayaan ialah cara berfikir. Corak fikiran positif akan mempengaruhi hati yang stabil seterusnya mempengaruhi setiap tindak tanduk. Oleh itu, kita perlu mengawal corak fikiran kerana ia mempengaruhi emosi dan tindakan yang bakal diambil.
Cerdik pandai menyebut, fikiran bukan apa yang kita fikirkan mengenai diri. Ramai orang berfikir dan mendakwa dirinya positif serta baik, tetapi ia tidak diterjemahkan dalam corak pemikirannya.
Ertinya, apa yang kita fikir, ucap, digerakkan melalui rasa, emosi dan ditunjukkan melalui perbuatan. Itulah yang disebut corak fikiran kita bukan perasaan atau penilaian terhadap diri sendiri.
Hakikatnya, kita sendiri boleh membuat penilaian terhadap diri. Sepanjang hari berapa banyak kita bersangka baik terhadap orang lain, sejauh mana kita positif dengan persekitaran kita dan bagaimana kita berdepan dengan situasi dilalui.

Jadi seperti gula
Gula dan semut dalam situasi berhubung rezeki, ada yang berfikir mahu seperti semut gigih mencari rezeki. Namun ada pula berfikir seperti gula. Cara berfikir seperti gula, bagaimana ‘memaniskan’ diri dengan bertindak baik untuk menarik lebih banyak rezeki.
Oleh itu, kita akan selalu bertindak, berfikiran baik akan dan kata-kata seperti gula manis yang boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain dan seterusnya mendatangkan rezeki buat kita juga.
Begitulah dalam hidup ini, apa juga peranan kita sebagai anak, suami, isteri atau sesiapa sahaja. Mengejar bahagia dalam rumah tangga umpamanya, jangan mencari bahagia itu dalam perkahwinan sebaliknya jadikan perkahwinan jalan ibadat untuk mencapai kebahagiaan.
Begitulah corak berfikir, jadilah seperti gula yang sentiasa memberi rasa manis sehingga menarik perhatian sesiapa sahaja dan akhir natijahnya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain

Sumber : IKIM

Comments